Followers

Berbicara Yang Dilarang

Lidah yang dikurniakan Allah ini terlalu besar nikmatnya, namun ia sering digunakan untuk tujuan yang salah. Buruk akibatnya jika kita terlanjur kata-kata atau tersalah bicara sehingga menimbulkan pergaduhan, permusuhan, pekelahian dan berbagai-bagai kesan negatif yang lain.
   Akhirnya ia boleh memberi impak yang besar kepada keharmonian dalam masyarakat, organisasi, rumah tangga, negara dan sebagainya. Islam memang melarang keras kita menggunakan lidah kita untuk merosakkan hubungan silaturahim.
   Larangan-larangan ini banyak dijelaskan dalam al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w. seperti berikut:

  • Berdebat
          Ramai orang suka bertikam lidah apabila berlakunya perselisihan pendapat. Kadang-kala timbul situasi menyerang, menentang dan saling mencela antara mereka. Islam tidak membenarkan kita berdebat walau kebenaran memang di pihak kita, sebagaimana hadis nabi s.a.w. yang bermaksud: "Aku ialah pemimpin di sebuah tempat di syurga bagi orang yang meninggalkan perdebatan walaupun dia benar." (Riwayat Abu Daud) Diam itu adalah lebih baik.
  • Mengumpat
          Pada hari ini kita lebih seronok berbicara mengenai keburukan orang lain. Hampir di setiap tempat dan ruang digunakan untuk menceritakan aib orang lain. Paling menyedihkan majlis umpat-mengumpat ini berlaku dalam majlis ilmu, masjid, surau dan berlaku di tempat yang tidak sepatutnya. Ingat ancaman Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: "Celaka bagi pengumpat lagi pencela." (Surah al-Humazah 104:1) 
          Daripada Anas r.a., Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: "Ketika aku diangkat ke langit (Mikraj), aku melintasi sekelompok kaum yang mempunyai kuku daripada tembaga untuk melukai wajah dan dada mereka. Kemudian aku bertanya kepada Jibrail: 'Mereka ialah orang yang memakan daging manusia dan menjatuhkan kehormatan mereka.'" (Riwayat Abu Daud) Carilah kehebatan, kebaikan dan kelebihan orang daripada menceritakan keburukan dan kelemahan mereka.
  • Mengadu Domba
          Perbuatan ini besar impaknya dalam masyarakat sehingga boleh menyebabkan perpecahan dan saling benci-membenci. Oleh sebab itu, jauhilah diri daripada mereka yang berperangai begini. Ancaman bagi si pengadu domba telah disabdakan  oleh Rsulullah s.a.w. dalam hadisnya yang bermaksud: "Tidak masuk syurga orang yang mengadu domba." (Riwayat al-Bukhari) Perbuatan "talam dua muka" ini merupakan perbuatan keji dan berniat jahat.
  • Membangga Diri
          Ramai juga orang yang membangga diri untuk meninggikan darjat diri tetapi dengan cara menghina orang lain. Bercakap dengan tidak menghiraukan perasaan orang lain sehingga menggores hati orang yang mendengarnya. 
          Sifat sombong dan bongkak ini mendorong mereka memperkecil-kecilkan orang lain dan tidak kurang juga suka mencari kesalahan orang. Terdapat juga mereka yang menunjuk-nunjuk kebolehan diri tetapi sekadar cakap sahaja. Matlamatnya cuma untuk memperkecilkan orang lain.
          Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Celaka bagi orang yang berkata kemudian berbohong supaya orang tertawa, maka celakalah baginya." (Riwayat Abu Daud)
  • Perkataan Yang Ditegah
          Kita dilarang berbicara dengan menggunakan sumpah, menyumpah orang, mengkafirkan orang, perkataan lucah dan lain-lain perkataan buruk. Perkara ini amat ditegah seperti yang dijelaskan oleh Allah dalam ayat al-Quran berdasarkan surah al-Qalam ayat 10-11 yang bermaksud: "Dan janganlah kamu turuti setiap orang yang suka bersumpah yang hina. Yang banyak mencela, yang suka menyebarkan fitnah." Hendaklah kita melahirkan kata-kata yang bernas, betul dan jitu serta bertepatan dengan prinsip-prinsip Islam secara berhikmah untuk faedah semua.
          
          Jadi, gunakan mulut dan lidah yang Allah anugerahkan ini untuk melakukan kebaikan kepada semua manusia. Jadikan lidah ini sebagai jambatan yang menghubungkan silaturahim antara kita. Ingatlah bahawa kita akan dipertanggungjawabkan setiap kata-kata yang kita tuturkan.
     

No comments:

Post a Comment